klik sini

Khamis, 28 Julai 2011

Konsep Seni Visual - Complete


 PENGERTIAN SENI VISUAL

Seni Secara Umum Seni secara umum agak luas seperti seni tari, seni muzik, seni bina, seni lakon, seni silat, seni ukir, seni lukis, seni kraf, seni penulisan dan sebagainya. Kesenian ini sebenarnya ada kategorinya sendiri umpamanya Seni Persembahan (meliputi seni lakon, seni suara dan sebagainya), Seni Penulisan Kreatif (penulisan cerpen, puisi, skrip drama dan sebagainya), dan Seni Visual/Tampak (meliputi seni Kraf, seni lukis, seni ukir, seni bina dan sebagainya).

Seni silat merupakan salah satu cabang seni

Visual atau Tampak secara terminologinya bermaksud boleh dilihat atau disentuh. Jadi yang tergolong dalam sesuatu yang boleh dilihat dan disentuh ialah catan, lukisan, arca, ukiran, binaan bangunan dan sebagainya. Proses apresiasi ini pula melibatkan penggunaan laras bahasa tampak tertentu seperti unsur-unsur seni (garisan, rupa, bentuk, ruang, jalinan, dan warna), prinsip rekaan (harmoni, kepelbagaian, kontra, penegasan, imbangan, pergerakan/irama/rentak/pengulangan, kesatuan dan ekonomi), bahan dan alat, teknik dan gayaan, terminologi dan simbol.

Konsep Seni Visual

Konsep seni visual boleh difahami berdasarkan aspek seperti pernyataan diri self-expression), pengalaman dan sensasi visual dan sentuh, 2D dan 3D, komunikasi visual, bahasa seni visual, isi dan mesej, imej, form, content, benda – subjek, objek berfungsi/kegunaan, nilai estetik, ciri-ciri kreatif, pelukis/pandai tukang dan karya seni, asas seni reka dan berbagai aspek lain.


Penyataan Diri (self – expression)

Bermaksud meluahkan atau menyatakan apa yang dirasa dan difikir secara bebas. Penyataan atau luahan ini haruslah ada mediumnya dan medium itu biasanya berupa permukaan yang boleh dicalitkan atau digoreskan. Catan, arca, lukisan merupakan produk hasil daripada ekspresi diri ini dalam konteks seni visual. Kanak-kanak merupakan golongan yang gemar menyatakan ekspresi diri ini. Ekspresi diri kanak-kanak adalah lebih tulen kerana mereka menyatakan perasaan tanpa sedar dan tanpa diarah oleh sesiapa. Sebab itu kita kerap melihat kanak-kanak suka menconteng. Tampakan yang mereka hasilkan nampak bersahaja dan tidak terkawal.. Contoh pelukis seperti Vincent Van Gogh, Jackson Pollock. Kesimpulannya, Seni Visual adalah penyataan perasaan, emosi, idea dan manifestasi fikiran.

Vincent Van Gogh
Pengalaman 2D/3D (Sensasi Visual dan Sentuh)


Seni Visual juga dikenali dan difahami sebagai sesuatu yang bersifat 2D atau 3D secara fiziknya. Deria sentuh dan deria penglihatan terlibat dalam konteks ini. Arca, ukiran merupakan produk seni yang boleh dinikmati melalui sentuhan dan bersifat 3D. Manakala catan, lukisan, cetakan merupakan produk seni yang boleh dinikmati dengan deria penglihatan dan bersifat 2D.


Bahasa Seni (laras bahasa) 


Seperti juga bidang yang lain, seni tampak juga mempunyai laras bahasanya sendiri. Seni tampak pula mempunyai laras bahasanya sendiri seperti unsur-unsur seni (warna, jalinan dan lain-lain ), prinsip rekaan (kontra, harmoni, pergerakan dan lain-lain), bahan dan alat (berus, plaster, cat minyak dan lain-lain), teknik dan gayaan (basah atas basah, realistik dan lain-lain). Tanpa pengetahuan laras bahasa ini, seni dilihat tanpa makna.


Kandungan/Isi/Mesej (Contents / makna) 


Seni Visual juga diertikan sebagai suatu produk yang mempunyai makna atau isi. Sebelum wujudnya fotografi manusia merakam peristiwa dalam bentuk visual 2D seperti manuskrip, lukisan dinding, catan dinding dan seumpamanya. Contoh dalam lukisan dinding di pyramid mesir atau catan lanskap oleh Abdullah Arif. Seni tampak atau visual juga merakamkan pencapaian manusia dan menggambarkan tentang nilai, kepercayaan dan sikap social. Karya seni merupakan rakaman sejarah dan budaya secara tampak.

Karya Abdullah Ariff




Estetika 

Seni visual juga difahami sebagai sesuatu yang mempunyai nilai estetik. Menurut Herbert Read, seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik. 
Herbert Read
Menurut Syed Ahmad Jamal estetika berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekankan aspek kegunaannya.
Syed Ahmad Jamal

Pengkarya/Pelukis/Pandai Tukang 

Setiap hasil seni visual atau produk seni ada agen yang mewujudkannya. Agen itu dikenali sebagai pengkarya, pelukis atau pandai tukang. Tanpa agen ini tiada produk seni. 

Asas Seni Reka 

Asas seni reka merangkumi aspek elemen dan prinsip rekaan dalam seni tampak. Produk seni seperti catan umpamanya perlu dihasilkan mengikut peraturan seni reka contohnya ada aturan ruang, imbangan, kontra dan sebagainya. Karya seni yang tidak menggunakan asas seni reka dianggap kurang bermutu.  Asas seni reka ada dua komponen utama iaitu ELEMEN/UNSUR dan PRINSIP. Elemen rekaan termasuklah garisan, rupa, bentuk, ruang, jalinan, dan warna. Prinsip rekaan pula meliputi harmoni, kepelbagaian, kontra, penegasan, imbangan, pergerakan/irama/rentak/pengulangan, kesatuan dan ekonomi

Fungsi / Gunaan
 

Seperti juga produk yang lain, hasil seni visual juga ada fungsi atau kegunaannya sendiri. Ia boleh berfungsi sebagai alat dokumentasi contohnya catan dinding gua batu (dokumentasi sejarah atau aktiviti orang zaman batu), sebagai alat propaganda, ekspresi diri (luahan perasaan, emosi, idea dan lain-lain. Selain itu hasil seni kraf seperti tembikar berfungsi sebagai alat menyimpan air, ukiran sebagai hiasan dinding.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila beri komen sket...Terima Kasih..

Letak mouse kat sini dan klik!

Kongsi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sahabat-sahabat